Wednesday, 30 May 2012

Keratan Akhbar - Lepasan KKTM jadi rebutan majikan

Lepasan KKTM jadi rebutan majikan

Pelajar KKTM Pasir Mas menunjukkan sijil penyertaan Pertandingan Reka Bentuk anjuran Lembaga Arkitek Malaysia, baru-baru ini.
 
PASIR MAS 29 Mei - Lepasan Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Pasir Mas, Lubok Jong, di sini terbukti menjadi rebutan majikan apabila sebanyak 97 peratus lepasannya berjaya mendapat pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Timbalan Pengarah Hal Ehwal Akademik KKTM, Nurhaslina Ngah berkata, pihaknya sering menerima surat tawaran daripada pihak industri yang mempelawa pelajarnya menghadiri temuduga bagi mengisi kekosongan jawatan di syarikat mereka setiap tahun.

"Mereka juga akan memaklumkan kami tentang kekosongan jawatan melalui panggilan telefon. Syarikat berkenaan berada di merata tempat di seluruh negara," katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, kejayaan mencatat peratusan tinggi tersebut jarang dicapai institusi pengajian tinggi (IPT) lain di negara ini.

"Kami berjaya melahirkan hampir 20,000 lepasan selepas ditubuhkan sejak 12 tahun lalu. Ada antara mereka kini bekerja dengan syarikat gergasi tempatan dan luar negara, malah tidak kurang juga membuka perniagaan sendiri," katanya.

Beliau memberitahu, KKTM menawarkan enam kursus teknikal dan vokasional di peringkat diploma iaitu seni bina, teknologi kejuruteraan bangunan, elektrik, elektronik, mekanikal reka bentuk dan elektrik (domestik dan industri).

"Kesemua kursus tersebut mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sebanyak 60 peratus daripada kurikulum pengajian di KKTM Pasir Mas tertumpu kepada latihan amali manakala selebihnya adalah secara teori.

"Kurikulum pengajian juga digubal bersama badan-badan profesional seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memastikan kursus yang kami tawarkan ini sentiasa relevan dengan kehendak pasaran semasa," katanya.

Nurhaslina berkata, pelajar KKTM Pasir Mas bukan sahaja dianugerahkan segulung diploma sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian, malah turut menerima Sijil Kompetensi yang dikeluarkan Suruhanjaya Tenaga.

"Ini bermakna kemahiran graduan kami diperakui dan diiktiraf oleh badan bertauliah. Mereka layak bekerja sebagai penjaga jentera elektrik di kilang dan melakukan kerja pendawaian elektrik di rumah dengan adanya sijil itu," katanya.

Katanya, KKTM menerima lebih 3,000 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Institut Kemahiran Mara di seluruh negara untuk melanjutkan pelajaran ke kolej kemahiran itu setiap tahun.

"Namun, kami hanya mampu mengambil kira-kira 200 pelajar sahaja dalam setiap sesi kemasukan setelah mengambil kira jumlah tenaga pengajar yang sedia ada. Kami juga berharap dapat menambah kursus dalam bidang automotif pada masa depan," katanya.


1 comment:

  1. dadadididudidadadi... terima kasey daun keladey..

    ReplyDelete